Monday, January 3, 2011

Terima Kasih Melodi.Anda berjaya mengentalkan semangat kami!

Terima Kasih Melodi TV3, Moga Allah Memberkati Kalian

Pesan baginda Nabi Muhammad : “Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”

Salam. Moga Allah memberkati kita semua. Sedikit ulasan berkenaan Melodi TV3 (2 hb Januari 2011)

Rancangan hiburan Melodi TV3 yang bersiaran pada 2 hb Januari 2011 yang menampilkan Brother Wahid dan Brother Zizan sebagai pengacara benar-benar mencuri tumpuan penonton. Mana tidaknya, permulaan tahun baru diselitkan dengan isu-su yang cukup 'matang' dan 'bermanfaat'.

Alhamdulillah, permulaan rancangan dimulai dengan laporan Anugerah Skrin yang baru sahaja berlangsung minggu lepas. Pelbagai trend pakaian yang 'islamik' ditunjukkan oleh artis dari event berkenaan. Saya amat-amat teruja dan berterima kasih kerana memperkenalkan kepada warga Muslim Malaysia inilah artis yang layak dijadikan 'contoh' oleh remaja Islam di Malaysia.

Kemudian, diselitkan pula kisah pemergian Allahyarham Faizal Yusof, seorang pelakon yang berbakat, juga merupakan bekas suami kepada penyanyi Siti Nordiana. Al-Fatihah untuk Allahyarham. Pengolahan dari kisah ini benar-benar membuatkan penonton seperti kami cukup terkesan dan mengharapkan pemergian beliau ini menjadi iktibar kepada kita yang masih hidup. Juga menjadi iktibar kepada semua artis baik penyanyi, pelakon dan wartawan hiburan (terutama wartawan Melodi) yang mati itu bukan atas faktor muda atau tua, sihat atau sakit, tetapi atas faktor ajal.

Seusai laporan mengenai Allahyarham Faizal Yusoff, terlitlah pula kisah Brother Maher Zain. Melalui wawancara yang dikeluarkan, dapat diringkaskan yang wartawan Melodi memulakan slot Sensasi Melodi dengan perkara ini :

1- Intro tag dengan satu persoalan adakah Maher Zain seorang yang tidak berdisiplin
2- Kemudian, menyatakan Maher Zain tidak ke Rancangan Nasi Lemak Kopi O pada 26hb Disember atas sebab bangun lambat
3- Seterusnya, wartawan Melodi bertanyakan adakah Maher Zain ke Malaysia untuk keuntungan semata-mata atau untuk dakwah
4- Dan slot Sensasi Melodi ini dirumuskan dengan kata-kata : "Betul atau tidak apa yang dikatakan Maher Zain, itu antara dia dan Allah"

WOW! Cukup 'hebat' soalan-soalan ini. Ini benar-benar satu 'perubahan' baru dari rancangan hiburan Melodi TV3. Amat-amat tepat dengan tagline Melodi : "Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi", dan wartawan Melodi menterjemahkan ia dalam bentuk bentuk laporan berita untuk Slot Sensasi.

Saya mewakili teman-teman Maher Zain Malaysian Fan Club (MZM-FC) amat-amat 'berterima kasih' kepada pihak Melodi TV3 atas liputan yang cukup bernas berkenaan. Semoga segala kekurangan Maher Zain menjadi kekuatannya satu hari nanti. Maaflah jika Maher Zain terlalu lama bersolat subuh berjemaah di Masjid Besar Shah Alam menyebabkan beliau keletihan, 'tidur semula' dan 'lewat' untuk bangun tidur kemudiannya. Semoga kita semua mendapat hidayah dari Allah.

Semoga tahun baru 2011, Melodi TV3 terus sukses dan menjadikan para artis semakin selesa ditemubual, yang hampir-hampir bercerai akan semakin akrab dan berbaik semula dengan pasangannya, mereka yang sudah bercerai akan rujuk semula, mereka yang suka mengumpat akan insaf dengan perbuatan mereka, artis yang berpakaian sendat akan terus berjubah, artis yang minum arak akan bertaubat dan minum air milo ais, artis yang berposing di kolam renang akan berposing di kolam wuduk masjid, dan artis yang suka bangun 'lambat' dan tidak solat Subuh bangun awal serta bersolat Subuh berjemaah di masjid.

Nota :

Maher Zain tidak mengecewakan peminatnya. Buktinya, beliau telah hadir ke rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada hari semalam (1 Januari 2011) dan meminta maaf akan ketidakhadirannya ke rancangan berkenaan pada 26 Disember 2010. Dan beliau juga telah menyatakan berlaku miss communication yang menyebabkan beliau tidak hadir pada tarikh berkenaan. Lain kali, kalau nak bikin isu macam ni, sila tanya dulu kepada pihak pengurusan Nasi Lemak Kopi O, juga kepada pihak KMG Globalzone. Bukan terus terjah Maher Zain dengan soalan-soalan yang tidak masuk akal. Nasib baiklah rancangan di televisyen bercorak 1 hala sahaja, paparkan isu tanpa ada ruang untuk dijawab secara terus oleh mana-mana pihak. Kalau rancangan melodi TV3 persis laman sosial facebook, ada pro dan kontra, alamatnya tutup la fanpage kalian. Akan jadi seperti kes penayangan Iklan Aidilfitri versi Krismas yang lepas.

Nota tambahan :

Benar, publisiti untuk Maher Zain perlu di media, namun ia persis percikan bunga api. Nampak cantik bukan, tetapi percikannya menyakitkan..

Ikhlas dari :

Akhi Fairuz | Admin MZM-FC

kredit to : http://www.facebook.com/MZMfc

No comments: